Rabu, 07 September 2011

Hukum, rukun, dan syarat penyembelihan


  • Penyembelihan dari segi bahasa bererti potong atau belah bagi menghilangkan nyawa binatang.
  • Dari segi syara‘ bermaksud menghilangkan nyawa binatang yang halal dimakan dengan menggunakan alat yang tajam selain dari kuku, gigi, dan tulang untuk membolehkan haiwan itu halal dimakan oleh orang Islam.
Sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam :

Maksudnya:

“Sembelihan adalah di antara pangkal dagu dan pangkal leher”

(Riwayat Ibnu ‘Abbas)
HUKUM PENYEMBELIHAN
  • Hukumnya wajib dilakukan ke atas sesuatu haiwan itu untuk membolehkan ia halal dimakan.
  • Haiwan yang tidak disembelih mengikut hukum Islam diistilahkan sebagai bangkai dan najis.
  • Firman Allah subhanahu wata‘ala:
Maksudnya:
“Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain daripada Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya)”
(Surah Al-Ma’idah 5:3)
DALIL PENSYARI‘ATAN PENYEMBELIHAN
Firman Allah subhanahu wata‘ala:
Maksudnya:
“Maka makanlah dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika betul kamu beriman kepada ayat-ayatNya.”
(Surah Al-An‘am, 6:118)
  • Sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah mewajibkan untuk berbuat baik terhadap sesuatu. Oleh kerana itu, jika kamu membunuh, perbaikkanlah cara membunuhnya, apabila kamu menyembelih maka perelokkanlah cara penyembelihannya serta tajamkanlah pisaunya dan mudahkanlah penyembelihannya itu.”
(Riwayat Muslim)
RUKUN PENYEMBELIHAN
Penyembelih:
a) Islam sama ada lelaki atau perempuan atau kanak-kanak yang mumayyiz.
b) Ahli kitab, samada Yahudi atau Nasrani.
c) Berakal dan berfikiran waras.
d) Tidak melakukan penyembelihan di dalam ihram haji (bagi binatang buruan).
Binatang Yang Disembelih:
Binatang yang halal itu segala jenis binatang yang baik dan tidak mendatangkan mudharat kepada orang yang memakannya seperti ayam, itik, lembu dan sebagainya. Binatang yang tidak halal dimakan dibahagikan kepada dua kumpulan:
a)          Haiwan darat. Semua haiwan darat dihalalkan untuk orang Islam, kecuali seperti berikut:
  • Babi dan keturunannya.
  • Anjing.
  • Haiwan halal yang tidak disembelih mengikut hukum syara‘
  • Haiwan yang bertaring dan menggunakannya untuk mencakar dan membunuh iaitu haiwan-haiwan buas seperti harimau, beruang, gajah dan seumpamanya
  • Burung yang mempunyai kuku pencakar atau memakan secara menyambar seperti burung helang, gagak, dan sebagainya.
  • Haiwan-haiwan yang diperintah oleh Islam membunuhnya, iaitu seperti tikus, lipan, lipas, kala jengking, dan seumpamanya
  • Haiwan yang dilarang oleh Islam membunuhnya, iaitu seperti semut dan lebah.
  • Haiwan-haiwan yang dipandang jijik oleh umum, seperti kutu, lalat, ulat, dan seumpamanya.
  • Haiwan yang hidup dua alam, iaitu di air dan di darat seperti katak, buaya, kura-kura, dan sebagainya.
b)       Haiwan Laut. Pada hakikatnya, semua haiwan laut hanya hidup dalam air sahaja dan adalah halal bagi orang Islam, kecuali:
  • Semua jenis haiwan laut yang mengandungi racun.
  • Semua jenis haiwan laut yang boleh memabukkan jika dimakan; dan semua jenis haiwan laut yang boleh mendatangkan kemudharatan atau bahaya kepada kesihatan manusia.
Alat Penyembelihan:
  • Alat penyembelihan yang hendak digunakan mestilah tajam, boleh melukakan, dan mengalirkan darah binatang tersebut. Contohnya seperti pisau, parang, dan sebagainya.
  • Alat tersebut mestilah tidak boleh diperbuat daripadaa gigi, tulang, atau kuku.
Bahagian Yang Disembelih:
Sembelihan yang sah hendaklah memutuskan halqum (saluran pernafasan) dan mari’ (saluran makanan dan minuman) dan memutuskan vena jagular dan arteri karotid. Hukum memutuskan halkum dan mari’ adalah wajib manakala memutuskan vena jagular dan arteri karotid adalah sunat.
Bagi haiwan yang tidak dapat disembelih pada leher kerana sesuatu sebab seperti haiwan buruan, maka adalah dibolehkan penyembelihan pada mana-mana bahagian anggotanya. Ini adalah untuk mematikannya dengan syarat niat menyembelih.
SYARAT SAH PENYEMBELIHAN
Syarat sah penyembelihan adalah seperti berikut:
  • Penyembelihan dilakukan oleh orang Islam atau ahli kitab.
  • Dilakukan dengan niat menyembelih kerana Allah.
  • Binatang itu masih hidup ketika disembelih.
  • Binatang itu adalah halal dimakan.
  • Menggunakan alat yang tajam selain dari kuku, gigi dan tulang.
  • Putus halqum dan urat mari’ dengan sebab penyembelihan.
  • Mati dengan sekali sembelihan sahaja.
  • Tidak dilakukan penyembelihan kerana selain dari Allah.
  • Tidak dilakukan dalam ihram (binatang buruan darat).
Tambahan: Sejajar dengan perkembangan semasa penyembelihan bagi tujuan komersil mesti dilakukan oleh orang yang mendapat sijil tauliah penyembelihan dari Jabatan Agama Islam Negeri.
PERKARA SUNAT SEMASA PENYEMBELIHAN
  • Membaca basmalah.
  • Menghadap binatang tersebut ke arah qiblat.
  • Membaca salawat ke atas Nabi.
  • Memutuskan dua urat dari kiri dan kanan supaya cepat mati.
  • Menggunakan pisau yang tajam.
  • Binatang itu dibaringkan di atas rusuk kiri.
  • Melakukan penyembelihan dengan segera.
PERKARA MAKRUH SEMASA PENYEMBELIHAN
  • Mengasah pisau di hadapan binatang yang hendak disembelih.
  • Menyembelih hingga terputus kepala.
  • Penyembelihan dilakukan oleh orang perempuan.
HIKMAH PENYEMBELIHAN
Penyembelihan diwajibkan ke atas setiap haiwan yang halal dimakan oleh orang Islam untuk memastikan sumber yang dimakan dapat memberikan kesan positif pada diri seseorang muslim itu dari segi mental, fizikal, sikap, atau perwatakan, dan sebagainya.
Sesuatu yang bersumberkan yang haram, buruk dan najis lazimnya akan menghasilkan sesuatu keburukan yang lain pula. Selain itu, penyembelihan juga dapat memberikan banyak kebaikan dan hikmat. Antaranya adalah seperti berikut:
  • Untuk menunjukkan perbezaan yang nyata antara cara orang Islam dan cara orang kafir dalam soal mematikan haiwan.
  • Untuk menunjukkan perbezaan daging yang halal dimakan dan yang haram dimakan oleh orang Islam.
  • Untuk memastikan haiwan tersebut tidak mengalami kesakitan yang terseksa ketika disembelih kecuali dalam masa yang singkat.
  • Agar darah dari dalam haiwan berkenaan dapat mengalir dengan cepat. Ini seterusnya dapat mengelakkan daripada jangkitan kuman yang mungkin ada dalam darah haiwan tersebut.
  • Sebagai meminta keizinan dari Allah subhanahu wata‘ala kerana haiwan dan manusia adalah makhluk Allah subhanahu wata‘ala yang bernyawa.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar